Ratu Elizabeth, adalah keturunan Nabi Muhammad?
0
PETALING JAYA: Salah satu yayasan kajian salasilah terkemuka dunia,
Burke’s Peerage, mendedahkan bagaimana ratu England, Ratu Elizabeth,
adalah keturunan Nabi Muhammad, menurut portal Step Feed yang melaporkan
berita dunia Arab.
Kajian yang diterbitkan pada 1986 oleh Burke’s
Peerage itu berkata Elizabeth yang kimo berusia 91 tahun itu adalah
cicit Nabi Muhammad yang ke-43.
“Ianya tidak diketahui ramai warga
Britain yang ratu mereka berketurunan Muhammad. Bagaimanapun, semua
pemimpin Islam bangga dengan fakta ini,” kata bekas pengarah penerbitan
yayasan itu, Harold Brooks-Baker.
Menurut Step Feed, bekas
pengarah penerbitan itu juga menjelaskan bagaimana pertalian darah
antara kerabat raja Britain dan Nabi Muhammad terjadi dalam terbitan
kajian itu.
“Kerabat raja Britain berketurunan Nabi Muhammad
melalui raja-raja Arab dari Seville yang dahulunya pernah memerintah
Sepanyol. Menerusi perkahwinan, pertalian darah itu dibawa kepada
raja-raja Eropah di Portugal dan Castile dan menerusi mereka, pertalian
itu sampai kepada Raja Edward Ke-4 pada kurun ke-15 di England,”
katanya.
Abu Al-Qasim Muhammad bin Abbad dari Kerajaan Khalifah
Umaiyah yang juga keturunan Nabi Muhammad, adalah pemerintah Islam
pertama di Kota Seville, Sepanyol sehinggalah kematiannya pada 1042.
Beliau membentuk dinasti Abbasiyah yang bertahan dari 1023 sehingga
1091.
Cucu lelaki Al-Qasim, Muhammad Al-Mu’tamid, memerintah Kordoba di
Sepanyol pada 1071 dan diturunkan takhta pada 1091 oleh Almoravid dari
Maghribi.
Menurut Harold, Selepas kejatuhan dinasti itu, anak
perempuan Al-Qasim, Zaida, mengahwini Raja Alfonso Ke-6 iaitu raja
Sepanyol yang memerintah Leon dan Castile. Zaida kemudiannya bertukar
menjadi penganut Roman Katolik.
Tambahnya, 2 kurun kemudian, Maria
de Padilla yang berketurunan King Alfonso Ke-6 dan Zaida, menimang 4
orang anak dengan Raja Peter dari Castile, yang mana 2 daripada anaknya
berkahwin dengan anak-anak lelaki Raja Edward Ke-3 dari England.
Isteri
Sir Edmund dari Langley yang juga Adipati Pertama York, Isabella dari
Castile, melahirkan Richard dari Conisburgh yang menjadi Earl di
Cambridge.
Richard kemudiannya mempunyai anak yang menjadi adipati
di York, Richard Plantagenet yang meninggal dunia pada usia 49 tahun.
Beliau adalah bapa kepada raja England yang memerintah dari 1547
sehingga 1553 iaitu Raja Edward Ke-4, jelas Harold dalam terbitan kajian
itu.