MELAYU PERLU BERSATU DAN PERLU BERGANDING BAHU MEMARTABATKAN MARUAH BANGSA , BERANI BERSUARA UNTUK MEMPERTAHANKAN HAK BANGSA MELAYU TANPA MENIDAKKAN KEBAJIKAN BANGSA LAIN DI NEGARA KITA

TERKINI

TERKINI

Rundingan Baling

0





Rundingan Baling

Akibat tekanan daripada pelbagai penjuru oleh kerajaan, PKM merasakan corak dan cara perjuangan harus disesuaikan kembali pada tahun 1955. Perjuangan bersenjata dan kekerasan tidak lagi praktikal kerana pasukan keselamatan telah diperbesar dan diperlengkapkan, para penyokong dan yang memberi simpati telah dikawal serta sebahagian besar rakyat telahpun selesa dengan sistem dan peraturan yang kerajaan laksanakan. Lagipun, pada peringkat negara sekeliling dan antarabangsa telah memperlihatkan satu kompromi atau usaha damai antara perjuangan komunis dengan demokrasi. Misalnya di Indochina dan di Korea telah diadakan gencatan senjata pada tahun 1951 dan 1953 lagi. Perjuangan pemberontakan Huk di Filipina telah ditewaskan pada tahun 1954, dan pemimpin utama komunis Russia Khruschev telah menyarankan supaya diwujudkan suasana aman damai (peaceful coexistence), dan komunis China telah menyuarakan tidak akan membantu lagi perjuangan PKM semasa Sidang Bandung tahun 1955. Semua ini telah mempengaruhi arah tuju dan perjuangan PKM.

Satu lagi peristiwa dalam negeri yang mengubahkan pendirian mereka ialah Pilihanraya Umum Persekutuan Tanah Melayu pada Julai 1955. Bagi menyelamatkan maruah daripada gagal dalam perjuangan bersenjata, PKM merasakan perlu bagi mereka untuk turut serta dalam pilihanraya tersebut. Dengan ini mereka telah menawarkan untuk mengadakan perundingan dengan pemimpin-pemimpin politik. Dalam keadaan kesibukan mengadakan pilihanraya, tidak dapat diaturkan sebarang pertemuan. Lagipun, setiap pertemuan dengan PKM harus mendapat

kelulusan pihak kerajaan. Setelah Tunku Abdul Rahman (Tunku) dilantik menjadi Ketua Menteri pada 31 Julai 1955, beliau telah mendapat kebenaran kerajaan bagi memberi pengampunan kepada PKM yang menyerahkan diri mulai 9 September 1955. Namun tawaran ini tidak menarik perhatian anggota PKM yang mana mereka mahu keluar dari hutan dengan cara yang lebih terhormat.

Sehubungan itu, satu perundingan yang dikenali sebagai Rundingan Baling telah berlangsung selama dua hari pada 28 dan 29 Disember 1955. Rundingan ini telah diadakan di Dewan Persidangan di pekan Baling, Kedah. Persidangan pertama berlangsung pada jam 1415. Wakil kerajaan diketuai oleh Tunku dengan ditemani oleh David Marshall (Ketua Menteri Singapura) dan Tan Cheng Lok. Manakala PKM diketuai oleh Chin Peng dan dibantu oleh Chen Tien (menjadi penghubung PKM dalam menjayakan pertemuan perundingan) dan Abdul Rashid Maidin. Dari apa yang digambarkan oleh Tunku bahawa Chin Peng tidak bersedia menerima syarat menyerah diri dan meletakkan senjata. Meskipun Tunku memberinya peluang untuk tidak tergesa-gesa memberi jawapan, namun beliau terus bertegas tidak dapat menerima tawaran tersebut dalam pertemuan kedua pada esoknya. Bagi pihak Tunku pula, beliau tidak dapat menerima tuntutan PKM untuk menyerah diri dan meletakkan senjata tanpa syarat dan dibenarkan partinya bergerak sebagai parti politik yang sah.
 



Oleh kerana terdapat perbezaan matlamat dan cita-cita perjuangan, maka perundingan itu berakhir dengan tidak mendapat sebarang keputusan yang jelas dan dianggap gagal. Bagi Tunku, pengampunan yang diberi sebagai jalan penyelesaian kepada perjuangan PKM yang menakutnakutkan dan keganasan pada rakyat bukannya cara terbaik untuk menghalau penjajah. Ini disebabkan penjajah telah bersetuju untuk memberikan kemerdekaan dan beliau dalam tempoh yang terdekat akan berangkat ke London bagi merundingkan tarikh dan syarat kemerdekaan. Kebebasan bergerak bermakna memudahkan PKM mendampingi rakyat bagi mengembangkan ideologi komunis yang telah ditolak oleh hampir keseluruhan rakyat. Chin Peng pula melihatkan pengampunan sebagai satu kegagalan dalam perjuangannya menghalau penjajah yang selama ini diperjuangkannya. Mereka lebih mengharapkan perundingan ini untuk mendapatkan kerjasama pemimpin politik bagi sama-sama menghalau penjajah. Mereka mempunyai hasrat atau matlamat yang tersembunyi, iaitu setelah berjaya menghalau penjajah, mudahlah bagi mereka mengambil semula negara ini kerana mereka mempunyai kekuatan ketenteraan dan para pendokong perjuangan.

Semasa perundingan berlangsung, kawalan keselamatan diperketatkan bagi menjamin tidak berlakunya sebarang kejadian buruk. Pihak

keselamatan dan PKM telah bersetuju mengadakan genjatan senjata bagi membolehkan pihak PKM keluar mengiring dan memerhati perkembangan perbincangan. Apa yang menariknya perbincangan ini telah berjalan dengan suasana tenteram tanpa sebarang gangguan. Pihak PKM yang mengiringi wakil mereka telah dibenarkan berjalan-jalan di pekan Baling dan membeli keperluan makanan di pasar. Ini kerana Chin Peng meminta penyediaan makanan untuk mereka disediakan sendiri selain daripada makanan dalam tin kegunaan tentera yang disediakan untuk mereka.

Kegagalan rundingan ini telah diduga. Pihak kerajaan sebenarnya tidak begitu merestui rancangan Tunku memberi pengampunan dan mengadakan perundingan. Atas usaha yang telah dibuat, Tunku berjaya mendapat kebenaran mengadakan perbincangan itu bagi sekurangkurangnya untuk melihat dan menilai perjuangan sebenar PKM. Selain pihak kerajaan, akhbar-akhbar diseluruh dunia turut tidak yakin dengan hasil perundingan itu nanti. Bagi mereka Tunku seperti memperjudikan nasib negara dan masa depan politiknya apabila mengadakan perundingan tersebut. Memang tepatlah seperti apa yang diduga.

PKM tidak berputus asa. Ada usaha untuk mengadakan rundingan kedua setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Usaha ini ditolak oleh Tunku kerana yakin negara akan dapat mengatasi masalah komunis. Setelah gagal dengan usaha ini, bermakna untuk meneruskan perjuangan melalui saluran politik yang sah telah tertutup. Untuk meneruskan perjuangan dengan kekerasan pula telah tidak berkemampuan setelah ramai anggota terkorban dan kurangnya sokongan daripada rakyat. Dengan itu, Chin Peng telah mengarahkan para anggota dan penyokongnya di hutan supaya mengelakkan diri daripada bertembung dan bertempur dengan pasukan keselamatan. Tujuannya bagi mengelakkan anggota yang terlatih daripada terkorban dan dalam masa yang sama dapat menyusun strategi dan mempertingkatkan lagi latihan. Dalam masa yang sama PKM berusaha untuk memanjangkan lagi suasana darurat yang boleh melambatkan proses pembangunan dan menyusahkan rakyat setelah banyak peruntukan disalurkan kepada pasukan keselamatan. Bagi komunis, apabila negara menjadi lemah dan mundur, mudahlah rancangan jangka panjang mereka dapat dilaksanakan melalui kaedah pengeksploitasian isu semasa


0 comments: