Antara kuman BN di seberang laut dan gajah DAP di depan mata
Belum sempat pun berita 11 langkah penjimatan kerajaan persekutuan disebarkan menerusi media arus perdana, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat bingkas menyifatkan ia sebagai tidak ikhlas dan hanya bersifat simbolik.
Namun mereka diam seribu bahasa dengan pendedahan di Pulau Pinang bahawa Ketua Menterinya, Lim Guan Eng akan memiliki kereta mewah Mercedes Benz berharga lebih RM300,000.
Setelah ditegur oleh pelbagai pihak, Lim mengarahkan Pegawai Kewangan Negeri untuk memberikan penjelasan bahawa kereta mewah itu dibeli kerana potongan harga istimewa.
Oleh kerana potongan harga itu, maka, menurut PKN, Lim tidak lagi akan menggunakan kereta Toyota Camry yang dibeli hanya dua bulan lalu.
Kereta itu “ditolak” kepada Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang.
Apakah tindakan Lim itu satu penjimatan, memandangkan kereta Mercedes itu di beri potongan harga istimewa. Ya mungkin…
Namun persoalan lebih penting ialah adakah pembelian kereta Mercedes itu satu KEPERLUAN? Rasanya TIDAK.
Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang di mana rakyat diminta mengikat perut dan kos sara hidup makin meningkat.
Lim ibarat meludah kelangit
Apa yang dilihat sekarang ialah Lim menggesa rakyat untuk membenci kerajaan kerana menaikkan harga barangan namun pada masa sama, beliau menggunakan dana awam untuk membeli kereta mewah hanya kerana ditawarkan diskaun.
Lim orang paling bingkas menuduh Putrajaya sebagai kerajaan boros, rasuah dan sebagainya.
Beliau membelakangkan sumbangan BN di sebalik segala pembangunan negara dan Pulau Pinang.
Dalam keghairahan mencari nama untuk diri, beliau mencanang kemajuan Pulau Pinang hari ini sebagai kejayaan DAP.
Sifat angkuh dan rasa dirinya sebagai tokong itu menyebabkan DAP dan beliau sendiri dikritik oleh PAS Pulau Pinang pada muktamar parti itu.
Lim juga dibidas oleh tokoh-tokoh PKR seperti bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Mansor Othman.
Sebelas langkah yang diumumkan oleh Putrajaya untuk mengekang perbelanjaan kerajaan termasuk pemotongan elaun untuk anggota Kabinet dan pegawai kanan kerajaan.
Sepatutnya langkah-langkah itu harus disambut dengan hati terbuka.
Pakatan Rakyat harus belajar berlapang dada dengan kerajaan persekutuan
Pembangkang harus meluangkan masa untuk menilai sejauh mana tindakan kerajaan itu akan berkesan untuk mengurangkan defisit negara.
Namun, sebagaimana yang dijangka, langkah yang dipilih oleh PAS, PKR dan DAP ialah mengkritik habis-habisan dan mengitar semula tuduhan dan tohmahan lalu.
Namun pemimpin pembangkang yang sama ini tidak nampak gajah dalam bentuk Lim Guan Eng di depan mata mereka.
Mereka juga tidak nampak salah dalam tindakan kerajaan negeri Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menaikkan lesen perniagaan di negeri itu sehingga 400 peratus.
Selain itu, kemelut tindakan Khalid menaikkan gaji dirinya dan barisan Exco serta ADUN sehingga 373 peratus juga masih berlegar di fikiran orang ramai.