MELAYU PERLU BERSATU DAN PERLU BERGANDING BAHU MEMARTABATKAN MARUAH BANGSA , BERANI BERSUARA UNTUK MEMPERTAHANKAN HAK BANGSA MELAYU TANPA MENIDAKKAN KEBAJIKAN BANGSA LAIN DI NEGARA KITA

TERKINI

TERKINI

Pas Selangor kutuk hajat Anwar mahu jadi MB

0


PAS Selangor menolak secara terbuka cubaan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar baru manakala sayap pemudanya bertekad memulau pilihan raya kecil DUN Kajang yang akan ditandingi oleh Ketua Pembangkang itu.
Ketua Pemudanya Syarhan Humaizi Abdul Halim terkilan dengan peletakan jawatan tanpa alasan yang munasabah oleh bekas ADUN Kajang, Lee Chin Cheh semalam untuk memberi laluan kepada Anwar.
“Ia ibarat mengkhianati amanah daripada rakyat yang telah meletakkan kepercayaan penuh, apatah lagi majoriti undi yang diperoleh Chin Cheh adalah agak besar iaitu 6,824 undi.
“Perbelanjaan untuk pilihan raya kecil juga akan melibatkan dana daripada wang rakyat dalam jumlah yang agak besar,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Berikutan kekosongan kerusi itu, mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat bersetuju dengan cadangan PKR untuk Anwar diletakkan sebagai calon yang akan mewakili gabungan parti itu.
Syarhan berkata Pemuda PAS Selangor kesal dan kecewa dengan tindakan yang dilihat membelakangkan rakan daripada Pakatan Rakyat dalam membuat keputusan terbabit.
“Melihat situasi yang berlaku, perletakan jawatan itu hanya semata-mata untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding sepertimana yang telah diumumkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
“Tindakan untuk menyelesaikan masalah dalaman dan pentadbiran parti tidak seharusnya membabitkan pembaziran wang rakyat,” ujarnya.
Beliau mengingatkan PKR bahawa Selangor khususnya adalah negeri yang ditadbir secara bersama oleh PAS, PKR dan DAP.
“Tiada istilah Selangor adalah negeri PKR atau sebaliknya, maka tindakan sebegini akan mengeruhkan suasana politik antara Pakatan Rakyat dan memberi imej negatif kepada rakyat,” tegasnya.
Beliau juga menuntut PKR mengemukakan penjelasan bertulis yang munasabah kepada Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS.
“Sekiranya PKR gagal berbuat demikian, maka arahan akan dikeluarkan kepada seluruh jentera Pemuda PAS Selangor untuk tidak memberikan kerjasama dalam kempen pilihan raya Kecil DUN Kajang jika calon yang dikemukakan adalah daripada PKR,” ujarnya.
Sementara itu, PAS Selangor pula menganggap isu kekosongan kerusi DUN Kajang adalah isu dalaman PKR yang tidak ada kena mengena dengan jawatan dan kedudukan Menteri Besar Selangor pada waktu ini.
Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman dalam kenyataan berasingan berkata apa saja keputusan PKR untuk mengosongkan kerusi ADUN atau menentukan siapa calon, adalah hak PKR untuk menentukannya dan PAS Selangor tidak akan terlibat campur.
Selagi isu jawatan MB Selangor tidak dikaitkan, maka PAS hanya menjadi pemerhati sahaja, katanya.
“Namun sekiranya berlaku kekosongan pada jawatan menteri besar, maka PAS Selangor akan mengambil bahagian dalam menentukan siapa calon yang akan diterima oleh rakyat dan PAS Selangor akan turut menghantar senarai calon yang dirasakan layak dan sesuai.
“Ini termasuk menamakan Pesuruhjaya PAS Selangor sebagai calon utama kita,” tegasnya.
Khairuddin berkata pihaknya akan menghantar nama calon menteri besar untuk pertimbangan PAS Pusat dan terserah kepada kepimpinan pusat untuk menentukannya kemudian.
“Mengapa kita hantar calon kita? Kerana kita juga memiliki kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Negeri,” ujarnya. PAS dan DAP masing-masing memiliki 14 kerusi DUN berbanding 13 oleh PKR. – Antarapos

0 comments: