JAMBATAN MELAKA DUMAI
0
Pembinaan jambatan Selat Melaka perlu kajian rapi
Menurut Timbalan Perdana Menteri, antara yang perlu dibuat kajian ialah kos pembinaan dan pulangan melalui pembinaan jambatan yang dianggarkan menelan belanja AS$$11 bilion (RM35.2 bilion) itu.
''Kita perlu buat kajian menyeluruh (terlebih dahulu) dan kemudian kita kemukakan kepada kedua-dua pemerintah. Kita kena tengok sama ada sesuai atau tidak dari segi kos dan pulangannya," katanya.
Najib berkata demikian pada sesi dialog sempena perasmian Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Kesembilan di sini hari ini.
Kira-kira 1,000 peserta tempatan dan luar negara terdiri anggota DMDI menghadiri konvensyen tiga hari itu yang bermula semalam.
Pada sesi dialog tersebut, beberapa peserta memberikan maklum balas positif berhubung pembinaan jambatan terpanjang di dunia itu termasuk menggariskan beberapa cadangan mengenainya.
Cadangan pembinaan jambatan merentasi Selat Melaka itu telah dicetuskan pada konvensyen DMDI kelapan tahun lalu dan ia dijelaskan lagi oleh Mohd. Ali pada kali ini.
Mohd. Ali dalam ucapannya berkata, pembinaan jambatan Selat Melaka sepanjang 52 kilometer itu dirangka bagi meningkatkan pembangunan sosial ekonomi di kedua-dua wilayah tersebut.
Kata beliau, pihaknya sedang mencari pelabur dari luar negara untuk membiayai projek mega tersebut dan berharap satu jawatankuasa peringkat Pusat dapat dibentuk.
Bagaimanapun Najib berkata, buat permulaan kedua-dua wilayah itu akan dihubungkan dengan perkhidmatan feri antara Kuala Linggi di Melaka dan Dumai di Sumatera.
''Kita mulakan dengan feri dari Dumai ke Linggi dahulu. Mana tahu jambatan ini akan menjadi kenyataan," kata beliau sambil memaklumkan perkhidmatan feri tersebut akan beroperasi mulai April tahun depan.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA 24/12/2008