SALAM ISRAK MIKRAJ
Assallammualaikum dan salam perjuangan...
Salam Israk Mikraj salam penuh keberkatan
Secara ringkasnya, Israk dan Mikraj merupakan satu perjalanan kilat Rasulullah s.a.w. pada sebahagian malam atas kekuasaan dan kehendak Allah dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa, kemudian naik ke langit sampai ke Sidratulmuntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan menembusi tujuh lapisan langit, lalu kembali semula ke Mekah pada malam yang sama.
Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku mengikut beberapa riwayat pada malam 27 Rejab tahun kesebelas kerasulan Baginda dan berlaku setahun sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w. ke kota Madinah. Walaubagaimanapun sebenarnya para ulama' tidak bersependapat mengenai tarikh sebenar berlakunya israk mikraj ini walaupun yang pastinya ia berlaku sebelum hijrah nabi ke Madinah....ada pelbagai pendapat tentang tarikh ini iaitu ada yang menyatakan ia berlaku pada 17 Rabiulawal, bulan Zulkaedah, Syawal, Ramadhan , Rejab, 17 Ramadhan, 27 Rejab dan lain-lain lagi.
Menurut Ibn Ishaq ia berlaku selepas 10 tahun baginda dilantik menjadi Rasul. Az-Zuhri pula berpendapat ia berlaku setahun sebelum baginda berhijrah ke Madinah iaitu pada bulan Rabiul Awal, sementara as-Suddi menegaskan ia berlaku pada bulan Rabiul Awal, 16 bulan sebelum baginda berhijrah. Ada pun al-Hafiz Abdul Ghani Ibn Surur al-Maqdisi berpendapat ia berlaku pada 27 Rejab sebelum penghijrahan baginda ke Madinah.
Sementara Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi pula berpendapat, bahawa riwayat mengenai peristiwa Israk dan Mikraj terdapat banyak pembohongan dan riwayat palsu yang boleh menggugat kedudukan iman Muslim, kerana peristiwa tersebut tidak berlaku pada bulan Rejab berdasarkan penjelasan al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani, di mana ia tidak berlaku pada malam 27 Rejab kerana ia tidak disokong dengan hadis-hadis Sahih atau pun kata-kata Sahabat yang Sahih.
Itulah juga pendapat Imam an-Nawawi daripada mazhab Imam as-Syafie dan Imam Abu Ishaq yang berpendapat bahawa Israk Mikraj berlaku pada malam 27 Rabiul Awal.
Tetapi apa yang penting diambil iktibar daripada peritiwa itu, ialah pengajaran mengenai perjalanan baginda dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan mikraj Rasul hingga ke langit ketujuh (Sidratul Muntaha).
Peristiwa ini bersabit dengan firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Isra’ ayat yang pertama maksudnya: Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Pada paginya, Rasulullah s.a.w. termenung, memikirkan bagaimanakah baginda dapat memberitahu umat manusia tentang peristiwa tersebut, kerana ia adalah sesuatu yang di luar kemampuan manusia. Sedangkan perjalanan ke Baitulmaqdis sahaja mengambil masa hampir sebulan, inikan pula dalam satu malam.
Begitu pun Rasulullah s.a.w. menyahut cabaran Abu Jahal agar dikumpulkan manusia untuk memberitahu mereka tentang peristiwa perjalanan Rasulullah s.a.w. ke Masjidil Aqsa. Apabila manusia telah berkumpul, dan Rasulullah s.a.w. menceritakan mereka tentang perjalanan baginda ke Masjidil Aqsa dalam satu malam, ramai daripada mereka yang tidak percaya. Malah, mereka yang lemah imannya juga mendustakan Rasulullah s.a.w. Namun, dalam masa yang sama, mereka yang sudah kuat imannya, bertambah kukuh lagi keimanan, seperti Sayidina Abu Bakar As-Siddiq r.a.
Keberanian Rasulullah s.a.w. memaklumkan kepada umat manusia tentang perjalanan Baginda tersebut, memberikan iktibar kepada umat Islam masa kini supaya perlu bersabar dan terus menunjukkan akhlak yang baik, walaupun ditentang oleh mereka yang tidak beriman dan tidak memahami Islam.
Sudah menjadi lumrah, mereka yang tidak memahami Islam akan mempunyai pandangan serong dan silap faham terhadap Islam. Tetapi, contohi Rasulullah s.a.w. Walaupun baginda diperli, dikeji dan didustai kerana menyampaikan berita Israk, Rasulullah s.a.w. tetap bersabar dan menunjukkan akhlak yang baik.
Maka, sebagai orang Islam yang tinggal di negara majmuk seperti Malaysia ini, ada kalanya kita menghadapi silap faham daripada mereka yang bukan Islam. Kita perlu tunjukkan akhlak yang baik serta bersabar dan terangkan kepada mereka tentang ajaran Islam yang sebenar, yang menggalakkan keharmonian dan juga kemakmuran.
Kita juga perlu tunjukkan bahawa kewujudan kita di negara ini, di tempat kerja, di sekolah dan di rumah, membawa kesejahteraan bagi orang di sekeliling kita. Sesungguhnya, orang Islam yang baik adalah juga rakyat, pekerja, majikan, pelajar dan ahli keluarga yang baik.
Di dalam perjalanan yang begitu istimewa ini, terlalu banyak yang dilihat oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dan begitu banyak pelajaran yang dapat kita peroleh. Antara pelajaran yang harus kita renungkan bersama adalah manusia harus sentiasa memerhatikan hubungannya dengan Allah, dan sentiasa menilai kembali dan berusaha memperelokkan hubungan tersebut.
Hubungan dengan Allah s.w.t. ini mestilah wujud tatkala ditimpa kesusahan dan ujian mahupun di kala mendapat kesenangan dan kemudahan. Ini kerana hanya Allah sahajalah yang berkuasa dan mampu memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan kepada diri kita.
Menyingkap kembali peristiwa Israk dan Mikraj ini, Nabi telah ditimpa beberapa kesulitan sebelum terjadi Israk dan Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk Israk dan Mikraj, iaitu untuk berhadapan dengan Allah s.w.t. Ini memberi pengajaran kepada kita agar mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi musibah dan pelbagai permasalahan dalam kehidupan.
Caranya ialah kita sentiasa beristiqamah, terus-menerus melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya dan bukan menjadi orang taat hanya pada waktu susah dan melupakan Allah pada waktu senang.
Kehidupan kita yang ingin berjuang untuk kebaikan pasti akan dipenuhi dengan cabaran dan dugaan. Ia tidak akan sentiasa mudah tetapi kita akan berhadapan dengan kesusahan terlebih dahulu.
Namun, semua yang berlaku itu demi untuk mengukur dan menilai keimanan kita di dalam hati. Adakah kita sanggup menghadapinya dengan penuh ketabahan dan kesabaran atau kita tergolong dalam golongan yang mudah berputus harapan? Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6., Ertinya: Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu bahawa) Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan.
Seperti yang ditunjukkan Allah s.w.t. kepada Nabi-Nya yang tercinta, bahawa Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya yang ikhlas dan benar berjuang keseorangan. Ia akan dibantu Allah s.w.t. Ia akan diberikan kegembiraan oleh Allah s.w.t. Bahkan Allah s.w.t. akan mengangkat darjat dan kedudukannya.
Pengajaran yang besar juga daripada Isra’ dan Mikraj ini ialah kewajipan untuk menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda Rasulullah s.a.w. telah ditunjukkan keadaan neraka dan ahlinya.
Baginda melihat pelbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan. Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali seperti sedia kala.
Nabi, juga melihat seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan lain-lain lagi. Ini semua memberi iktibar kepada kita yang hidup di dunia ini, agar tidak melakukan segala perbuatan yang mungkar dan tercela, tidak kira apa bentuknya sekalipun kerana seksaan yang disediakan Allah s.w.t. amatlah dahsyat.
Selain itu, Perintah solat merupakan suatu bentuk ibadah yang begitu penting di dalam kehidupan seseorang hamba Allah s.w.t. Kewajipan solat begitu istimewa dibandingkan dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini kerana kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi s.a.w. daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibrail.
Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak.