MELAYU PERLU BERSATU DAN PERLU BERGANDING BAHU MEMARTABATKAN MARUAH BANGSA , BERANI BERSUARA UNTUK MEMPERTAHANKAN HAK BANGSA MELAYU TANPA MENIDAKKAN KEBAJIKAN BANGSA LAIN DI NEGARA KITA

TERKINI

TERKINI

Suruhanjaya Reid dan Memo Perikatan

0




Suruhanjaya Reid dan Memo Perikatan

Suruhanjaya Reid telah ditubuhkan pada tahun 1955 dan dipengerusikan oleh Lord Reid dan Ivor Jennings dari Britain. Manakala ahli-ahlinya yang lain terdiri daripada William McKell dari Australia, Hakim B. Malik dari India, dan Hakim Abdul Hamid dari Pakistan. Suruhanjaya Reid telah diminta mengesyorkan satu perlembagaan Persekutuan berdasarkan demokrasi berparlimen. Dalam persidangan pertama yang diadakan pada bulan Jun 1956, Suruhanjaya ini telah meminta pertubuhan-pertubuhan, orang-orang perseorangan yang berminat menghantar memorandum bertulis mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan:

(i) Pembentukan sebuah kerajaan demokrasi berparlimen; 

(ii) Menjamin kedudukan Raja-raja; 
(iii) Memilih seorang Ketua Negara dari kalangan Raja-raja Melayu,  
(iv) Mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu tanpa banyak menjejaskan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain; dan 
(v) Membentuk satu rupa bangsa bagi seluruh negara iaitu satu kerakyatan yang sama. 

Suruhanjaya ini telah menerima sebanyak 131 memorandum dari orang perseorangan, pertubuhan termasuklah dari Parti Perikatan dan Raja-raja Melayu. Daripada 131 buah memorandum bertulis tersebut, dua daripadanya dianggap penting iaitu dari Raja-raja Melayu dan Parti Perikatan. Walau bagaimanapun, memo Perikatan yang dihantar pada 27 Julai 1955 menjadi pertimbangan utama Suruhanjaya atas sifat tuntutan bersama kaum-kaum terbesar. Dapatlah dikatakan bahawa memo tersebut sebagai satu ‘pakatan murni’ iaitu persetujuan secara bertolak ansur demi kepentingan semua kaum di Tanah Melayu.    

Terdapat lima perkara utama di dalam ‘pakatan murni’ iaitu unsur tolak ansur UMNO dari segi kewarganegaraan, kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, agama Islam dan kedudukan Raja-raja Melayu. Berikut adalah antara kandungannya: 
 

(i) Kewujudan Kerajaan Pusat dan Negeri (Federalisme)
(ii) Nama negara: UMNO (Malaysia) dan MCA (Malaya)
(iii) Mengujudkan institusi Yang Dipertuan Agung dan Timbalan Yang Dipertuan Agung bagi menggantikan Pesuruhjaya Tinggi. 
(iv) Penerusan Majlis Raja-raja. 
(v) Parlimen mengandungi dua Dewan, iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. 
(vi) Kewujudan tiga badan pemerintah dan pengasingan kuasa. 
(vii) Kedudukan Islam sebagai agama negara. 
(viii) Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. 
(ix) Takrif Melayu.

Dua perkara penting dalam ‘pakatan murni’, iaitu pengekalan empat unsur tradisi dalam perlembagaan iaitu Bahasa, Agama, kedudukan Rajaraja Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu
Manakala bagi orang bukan Melayu pula, mereka mendapat keistimewaan  apabila pemimpin UMNO bersetuju memberikan kerakyatan secara jus soli iaitu kerakyatan mengikut tempat lahir.

Sungguhpun memorandum ini digubal bersama oleh UMNO, MCA, dan MIC, tetapi tidak bermakna ketiga-tiga pihak ini bersetuju dengan semua perkara yang dikemukakan. Misalnya, persetujuan tidak dicapai mengenai pemberian taraf kerakyatan kepada individu yang lahir pada atau selepas hari merdeka, yang ibu bapanya adalah warganegara asing dan soal penggunaan bahasa Kuo Yu dan bahasa Tamil dalam tempoh 10 tahun selepas merdeka.16 Kesatuan Perdagangan Cina Persekutuan Tanah Melayu misalnya, tidak bersetuju dengan peruntukan kedudukan istimewa orang Melayu dan kegagalan menjadikan bahasa Kuo Yu sebagai salah satu bahasa rasmi di negara ini.17 Bagi Persatuan Dewan Perniagaan Cina SeMalaya pula, mendakwa prinsip jus soli tidak berfaedah kepada mereka. Malah mereka merayu supaya dikurangkan tempoh kelayakan bermastautin dari sepuluh tahun kepada lima tahun. Bagi yang melalui proses permohonan, dicadangkan pemansuhan ujian bahasa. Selain itu, mereka juga menuntut kesamarataan antara bahasa Melayu, Inggeris, Cina, dan Tamil.

Sementara Dewan Perniagaan Melayu menyarankan supaya undang-undang kewarganegaraan Persekutuan tidak harus dilonggarkan sehinggalah golongan bukan Melayu dapat membuktikan ketaatsetiaan mereka kepada Tanah Melayu. Persatuan Tamil Seluruh Malaya mendesak supaya seluruh keturunan Tamil yang dilahirkan di Tanah Melayu wajar diberikan kewarganegaraan secara automatik. Manakala bagi pejuang-pejuang UMNO yang menentang pula berpendapat UMNO terlalu banyak mengalah terutama dalam hal-hal kerakyatan. Ini kerana orang yang berkelayakan boleh menjadi rakyat dan menikmati hak-hak sebagai rakyat Tanah Melayu dengan begitu mudah dan seterusnya boleh menghasilkan kesan serta merta kepada bangsa Melayu. Sementara undang-undang mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu dalam pekerjaan, pelajaran, dan peluang peniagaan tidak memberi hasil yang serta merta seperti hak kerakyatan, jika dibandingkan dengan apa yang didapati oleh orang Cina dan India dasar melalui jus soli. Ini kerana orang Melayu bimbang dengan dasar jus soli kerana akan mengurangkan kuasa politik secara beransur-ansur dan cengkaman politik bangsa Melayu dicabar oleh bangsa asing.

Pada keseluruhannya, Suruhanjaya Reid telah mengadakan sebanyak 118 persidangan dari bulan Jun sehingga bulan Oktober 1956. Setelah diumumkan, Parti Perikatan dan beberapa pihak lain telah menyatakan tentangan mereka berkenaan dengan pemberian dua kerakyatan kepada rakyat Komanwel. Misalnya seseorang itu pada masa yang sama boleh menjadi rakyat India dan juga rakyat Britain serta tanah jajahan yang lain, sungguhpun mereka menumpukan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negeri yang ia tinggal. Perikatan menuntut kerakyatan yang tunggal. Terdapat suara-suara yang mahukan supaya Melaka dan Pulau Pinang dikekalkan di bawah jajahan British, iaitu terasing dari Tanah Melayu yang merdeka. Ia datang daripada Persatuan British Cina NegeriNegeri Selat. 
Isu lain yang ditentang ialah berkenaan dengan kedudukan istimewa orang Melayu juga tidak sepenuhnya kerana Suruhanjaya ini mencadangkan ia dikaji semula selepas 15 tahun dengan tujuan ia ditarik balik secara beransur-ansur. Cadangan ini ditentang hebat oleh UMNO.

Akhirnya rangka perlembagaan dikaji semula dan perlembagaan merdeka yang baru dibentuk hasil daripada rumusan dan pandangan sebuah jawatankuasa yang telah ditubuhkan. Pada 1 Mei 1957, jawatankuasa tersebut siap menyemak Laporan Reid serta membuat beberapa pindaan. Rundingan terakhir jawatankuasa kerja diadakan di London dan bersetuju dengan Rang Perlembagaan yang dibentuk sebagai Perlembagaan Tanah Melayu yang merdeka.  

Pada 5 Ogos 1957, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani oleh Raja-raja Melayu dan Pesuruhjaya Tinggi British bersetuju menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu mulai 31 Ogos 1957. Dalam tahun itu juga Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan Ordinan Perlembagaan Persekutuan 1957.

 

0 comments: