(3) Pekerjaan Nabi Muhammad S.A.W
0
ASSALLAMMUALAIKUM DAN SALAM PERJUANGAN..
SEMPENA SAMBUTAN KELAHIRAN NABI MUHAMMAD SAW PADA 1440 HIJRAH INI SAYA AKAN CUBA SETIAP HARI MENITIPKAN PERIHAL NABI MUHAMMAD SEHINGGA 20.11.2018 INI UNTUK SAMA SAMA KITA MENGENALI DAN MENGETAHUI TENTANG SIRAH NABI MUHAMMAD SAW.
PADA HARI INI KITA AKAN MENGUPAS TENTANG PEKERJAAN NABI MUHAMMAD SAW DARI KECIL SEHINGGALAH DEWASA..
SEMUGA MENJADI RUJUKAN DAN PENGETAHUAN KITA BERSAMA..
Pekerjaan merupakan elemen penting dalam kehidupan bagi mendapatkan sumber pendapatan yang baik dan halal. Ini bermaksud, pendapatan hanya akan diperolehi sekiranya seseorang itu bekerja. Allah S.W.T akan memberikan rezeki setimpal dengan usaha-usaha seseorang itu walaupun Allah telah menetapkan rezeki kepadanya. Dalam kandungan Al-Quran, Allah telah berfirman melalui ayat-ayat-Nya yang menunjukkan tentang kewajipan bekerja. Firman Allah dalam Surah An-Naba’ ayat 11 iaitu:
Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki.
Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Jumu’ah ayat 10:
Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).
Berdasarkan ayat-ayat diatas, jelaslah bahawa bekerja merupakan satu kewajipan dan tuntutan daripada Allah S.W.T. Selain bertujuan untuk mendapatkan rezeki atau sumber pendapatan, bekerja juga melatih seseorang untuk mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Ini kerana, ketika menjalankan sesuatu urusan pekerjaan, seseorang itu perlulah jujur, adil, amanah supaya rezeki yang diperolehi tersebut menjadi rezeki yang diberkati oleh Allah S.W.T.
Nabi Muhammad S.A.W tidak dididik oleh Allah S.A.W dengan harta yang banyak dan bersenang-lenang malah keperitan hidup yang dilalui oleh baginda nabi Muhammad S.A.W tidak akan tertanggung oleh orang lain. Sebagaimana manusia biasa yang lain, nabi Muhammad S.A.W juga bekerja untuk mendapatkan pendapatan bagi membantu keluarganya. Nabi Muhammad S.A.W sudah mula bekerja ketika baginda masih kanak-kanak. Kesungguhan dan kejujuran nabi Muhammad S.A.W membuatkan orang lain sanggup mengambil baginda bekerja walaupun masih kanak- kanak. Beberapa jenis pekerjaan yang telah dilakukan baginda sepanjang hayat baginda. Secara kasarnya, terdapat dua fasa pekerjaan yang dilakukan baginda iaitu ketika baginda masih kecil dan dewasa.
Pekerjaan Ketika Baginda Kecil
Mengembala Kambing
Mengembala kambing merupakan antara pekerjaan yang telah baginda lakukan ketika baginda masih lagi kanak-kanak. Mengembala kambing merupakan pekerjaan pertama yang baginda lakukan. Nabi sendiri pernah menyatakan dalam hadis baginda mengenai pekerjaaan baginda sebagai pengembala kambing. Namun begitu, nabi Muhammad juga menyatakan bahawa semua nabi yang diutuskan pernah bekerja sebagai pengembala kambing. Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
مَامِنْ نَبِيٍّ إِلا قَدْرَعَى الغَنَمَ قَالوُا: وَأنَتَ يَا رَسُولَ الله؟ قَا لَ: وَأنَا
Semua nabi pernah mengembala kambing. Mereka bertanya: Kamu juga wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Aku juga begitu
Ø Ketika dalam pemeliharaan Bani Sa’ad
Baginda mula mengembala kambing pada ketika baginda masih dalam pemeliharaan ibu susuan baginda iaitu Halimah binti Abu Dhu’aib yang lebih dikenali dengan nama Halimah As-Sa’adiah dari kabilah Bani Sa’ad. Nabi Muhammad S.A.W yang baru berusia empat tahun ketika itu telah dipercayai oleh Halimah As-Sa’diah untuk membantu beliau mengembala kambing-kambing peliharaannya. Kambing-kambing yang digembala oleh baginda nabi Muhammad S.A.W sangat sihat walaupun pada ketika itu perkampungan Bani Sa’ad dilanda kemarau yang sangat panas dan begitu lama berbanding di tempat lain.
Ø Tinggal Bersama Ibu Kandung Baginda
Kemudian, setelah peristiwa pembelahan dada nabi Muhammad S.A.W oleh malaikat Jibril a.s, nabi Muhammad S.A.W diserahkan semula kepada ibu kandung baginda iaitu Siti Aminah. Semasa bersama dengan ibunya, nabi Muhammad S.A.W meneruskan pekerjaannya sebagai pengembala kambing. Baginda mengambil upah mengembala kambing-kambing penduduk Mekah. Nabi S.A.W pernah menceritakan perihal ini kepada para sahabat dalam hadisnya. Sabda nabi Muhammad S.A.W:
“Dahulu pernah aku menternak kambing penduduk Mekah dengan upahnya beberapa Karat sahaja" (Riwayat Bukhari)
Ø Dalam Pemeliharaan Bapa Saudara
Setelah ibunya meninggal dunia, nabi Muhammad S.A.W dipelihara oleh datuknya selama dua atau tiga tahun sahaja sebelum dipelihara oleh bapa saudaranya, Abu Thalib. Ketika baginda tinggal bersama dengan Abu Thalib, baginda masih lagi meneruskan pekerjaan mengembala kambing. Baginda mengembala kambing-kambing kepunyaan bapa saudaranya sendiri dan mengambil upah mengembala kambing-kambing lain. Baginda bekerja mengembala kambing agak lama iaitu sehingga baginda berumur 21 tahun. Oleh itu, nabi sangat mahir untuk menguruskan manusia kerana baginda sudah dalam mengembala kambing-kambing yang bersifat degil dan liar.
Pekerjaan Ketika Baginda Dewasa
Berniaga
Ø
Mengikut Abu Talib ke Negeri Syam
Bapa saudara baginda, Abu Talib merupakan seorang peniaga. Beliau sering keluar untuk berdagang dan berniaga di negeri Syam (Syria). Negeri Syam pada ketika itu merupakan pasar yang besar untuk berniaga. Maka, ramai pedagang-pedagang dari luar datang ke Syam untuk berniaga. Oleh itu, Abu Talib sering mengajar nabi Muhammad S.A.W tentang cara-cara berniaga. Ketika umur nabi Muhammad S.A.W 12 tahun, baginda meminta izin bapa saudaranya itu untuk mengikut bersama-sama rombongan untuk pergi berdagang ke negeri Syam. Tanpa berfikir panjang, beliau membenarkan nabi Muhammad S.A.W untuk ikut pergi ke sana bagi membantu beliau berniaga.
Namun begitu, ketika rombongan mereka tiba di Basra (sebahagian daripada negeri Syam), mereka telah bertemu dengan seorang rahib atau paderi yang bernama Jarjis atau lebih dikenali dengan gelaran “Buhaira”. Buhaira merupakan seorang yang bijak dan pandai mengenai kitab Injil dan beragama Nasrani (Kristian). Sebaik sahaja rombongan Abu Talib tiba, Buhaira keluar kepada mereka dan menyambut mereka sebagai tetamu yang sangat mulia. Tindakan Buhaira ini sangat berbeza daripada sebelumnya kerana Buhaira langsung tidak pernah keluar dan menyambut rombongan mereka seperti yang dilakukannya pada hari tersebut.
Kemudian, Buhaira memerhati nabi Muhammad S.A.W dan bertanya kepada Abu Talib. Dia bertanya “Budak ini anak kamu kah?” Abu Talib yang terlalu sayangkan Rasulullah mengaku bahawa baginda ialah anak beliau, beliau menjawab, “Ya, budak ini anakku”. Kemudian, paderi itu berkata, “Bapa budak ini tidak mungkin masih hidup”. Kemudian, Abu Talib menjawab, “Sebenarnya budak ini ialah anak saudaraku, bapanya telah meninggal ketika dia masih lagi dalam kandungan ibunya”. Paderi itu berkata, “Memang benar apa yang kamu ceritakan kerana segala-galanya tercatat dalam Injil”. Paderi itu juga memberitahu Abu Talib bahawa nabi Muhammad S.A.W akan menjadi ketua seluruh alam dan utusan Allah berdasarkan cap kenabian yang terdapat pada badan nabi.
Pelbagai bukti kenabian yang telah diceritakan oleh Buhaira kepada Abu Talib. Antaranya ialah sepanjang perjalanan rombongan tersebut ke sana, semua pokok telah sujud kepada nabi Muhammad S.A.W. Kemudian, setelah selesai berbincang dengan Buhaira, Abu Talib dinasihatkan oleh Buhaira supaya membawa pulang nabi Muhammad S.A.W ke Mekah. Ini kerana, Buhaira bimbang sekiranya nabi Muhammad S.A.W dijumpai oleh kaum Yahudi jika Abu Talib tetap membawa nabi Muhammad S.A.W bersama beliau untuk berniaga. Tanpa berfikir panjang, Abu Talib bersama beberapa orang yang lain dalam rombongan tersebut pulang semula ke Mekah untuk menghantar nabi Muhammad S.A.W.
Ø Berniaga sendiri secara kecil-kecilan
Selepas daripada peristiwa tersebut, nabi Muhammad S.A.W tidak lagi keluar dari Mekah. Nabi Muhammad S.A.W semakin meningkat dewasa. Baginda mula menjalankan perniagaan secara keci-kecilan. Baginda menggunakan modal orang lain terlebih dahulu dan membayar semula apabila perniagaan baginda sangat untung dan mendapat hasil yang sangat banyak. Perniagaan nabi Muhammad S.A.W sangat untung dan baginda semakin hari semakin pandai berniaga. Keuntungan yang diperolehi disebabkan kejujuran dan sifat bersungguh-sungguh baginda ketika berniaga.
Ø Berniaga Dengan Harta Siti Khadijah
Siti Khadijah merupakan seorang saudagar yang mahsyur dan sangat terkenal dengan budi pekertinya serta kekayaan yang dimiliki. Beliau sering meminjamkan hartanya kepada sesiapa yang menginginkan modal untuk berniaga. Kebaikan peribadi beliau membuatkan beliau sangat dihormati oleh masyarakat Arab ketika itu.
Sebaik sahaja beliau mendengar khabar berita tentang akhlak dan kejujuran nabi Muhammad S.A.W, beliau terus tertarik untuk berjumpa dengan nabi Muhammad S.A.W. Beliau yakin bahawa kejujuran baginda akan membawa lebih banyak keuntungan kepada perniagaan beliau. Beliau juga sanggup memberi lebih banyak keuntungan yang diperolehi kepada baginda berbanding dengan orang lain yang pernah diberikannya. Oleh itu, beliau pergi berjumpa dengan Rasulullah S.A.W bagi menyatakan hasratnya kepada baginda. Beliau menceritakan tawaran beliau kepada nabi Muhammad S.A.W untuk mengusahakan perniagaan yang dimilikinya. Tawaran tersebut telah diterima baik oleh nabi Muhammad S.A.W. Baginda bersetuju untuk pergi menjalankan perniagaan Siti Khadijah.
Ketika ini, nabi Muhammad S.A.W berumur 25 tahun. Kali ini, baginda keluar buat kali kedua ke negeri Syam untuk menjalankan perniagaan. Baginda pergi ke Syam dengan ditemani oleh seorang hamba Siti Khadijah yang benama “Maisarah”. Perniagaan baginda berjalan dengan baik. Kejujuran dan usaha keras yang dimiliki baginda membuatkan perniagaan yang dilakukan mendapat keuntungan yang sangat banyak. Keuntungan tersebut lebih banyak daripada perniagaan sebelumnya. Apabila baginda pulang bertemu Siti Khadijah, baginda terus bertanyakan apa yang perlu dilakukan. Siti Khadijah sangat kagum dengan akhlak dan sifat amanah nabi Muhammad S.A.W. Tambahan pula, Maisarah menceritakan kepada beliau tentang sifat-sifat nabi Muhammad S.A.W ketika berniaga di Syam. Setelah mendengar cerita tersebut, Siti Khadijah sangat tertarik kepada baginda berdasarkan akhlak yang baginda tunjukkan.