MELAYU PERLU BERSATU DAN PERLU BERGANDING BAHU MEMARTABATKAN MARUAH BANGSA , BERANI BERSUARA UNTUK MEMPERTAHANKAN HAK BANGSA MELAYU TANPA MENIDAKKAN KEBAJIKAN BANGSA LAIN DI NEGARA KITA

TERKINI

TERKINI

ISLAM , MELAYU DAN BAHASA MELAYU

0

====Islam Sebagai Agama Persekutuan

Kedudukan Islam sebagai agama rasmi termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Per 3 (1). Keadaan ini memberi implikasi bahawa kedudukan Islam sebagai agama rasmi mestilah dihormati kerasmiannya. Walaupun agama lain bebas dianuti dan diamalkan tetapi kedudukannya tidak sama dengan agama Islam. Oleh kerana kerasmiannya maka keutamaan diberikan kepada agama Islam dalam perancanganperancangan yang dibuat umpamanya Penerapan Nilai-nilai Islam. Namun apa yang lebih penting yang perlu dilihat juga ialah kebebasan beragama dan tiada paksaan dalam beragama dan setiap manusia harus seharusnya saling kenal mengenali antara satu sama lain. Al-Qur’an menegaskan:

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada tali yang teguh yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (2:256) 





===Ketuanan Melayu 

boleh dikaitkan dengan hak-hak istimewa orang-orang Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Per 153. Namun begitu dalam negara demokrasi setiap rakyat adalah sama di sisi undang-undang dengan setiap rakyat berhak untuk mengundi dalam pilihanraya. Dalam hal ini sudah tentulah kaum Melayu adalah majoriti berbanding dengan kaum lain. Oleh itu pembinaan jatidiri juga harus mengambil kira faktor ketuanan Melayu ini. Selain dari itu kewujudan kaum besar yang lain seperti kaum Cina dan India harus juga diberi perhatian dalam membina perhubungan yang sejahtera dalam negara Malaysia. Kaum-kaum minoriti yang lain seperti Kadazan, Dusun, Iban dan yang lain juga tidak boleh dipinggirkan dalam membentuk jatidiri rakyat Malaysia. Pelbagai kaum sebenarnya terlibat dalam pembangunan negara sebagai seorang rakyat yang merdeka.

===Kedudukan Bahasa Melayu

Bahasa merupakan satu medium yang cukup penting dalam perhubungan antara satu sama lain. Manusia saling kenal mengenali melalui bahasa dan dalam situasi negara, bahasa menjadi medium utama untuk berkomunikasi. 

Keutuhan dan kesepaduan antara kaum mampu dicorakkan oleh faktor bahasa. Dalam keadaan Malaysia yang berbilang kaum dan bahasa ini, kewujudan bahasa Melayu sebagai alat perhubungan adalah amat penting. Apatah lagi bahasa Melayu merupakan bahasa Kebangsaan seperti yang tertera di bawah Per 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia. Oleh kerana itu bahasa Melayu perlu diajar, disemai dan dipupuk dikalangan rakyat Malaysia keseluruhannya. Bahasa Melayu boleh menjadi alat yang amat penting untuk memupuk perpaduan. Walaupun begitu, kebebasan juga diberikan kepada rakyat berbilang kaum untuk bertutur  dan belajar  bahasa ibunda mereka. Kesimpulannya, pembinaan jatidiri perlu mengambil kira perkara-perkara di atas supaya tidak timbul perbalahan dan rasa tidak puashati antara etnik.


 

0 comments: