MELAYU PERLU BERSATU DAN PERLU BERGANDING BAHU MEMARTABATKAN MARUAH BANGSA , BERANI BERSUARA UNTUK MEMPERTAHANKAN HAK BANGSA MELAYU TANPA MENIDAKKAN KEBAJIKAN BANGSA LAIN DI NEGARA KITA

TERKINI

TERKINI

LANGKAH-LANGKAH PENUBUHAN MALAYSIA

0



LANGKAH-LANGKAH PENUBUHAN MALAYSIA

1. Penubuhan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia ( Malaysian   Solidarity Council Comitee - JPPM)

JPPM ditubuhkan bertujuan untuk menerangkan kepada rakyat mengenai gagasan pembentukan Malaysia dengan lebih jelas lagi. Walaupun pada peringkat awal Sabah dan Sarawak serta sesetengah pihak di Singapura menentang penubuhan Malaysia, namun sikap ini telah agak berubah apabila wakil Tanah Melayu yang hadir di Persidangan Komanwel di Singapura yang diketuai oleh Kapten Dr. Abdul Hamid Khan, dan  berpeluang menerangkan tentang gagasan penubuhan Malaysia. Hasilnya satu jawapan positif telah diterima dan selanjutnya Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM) telah dibentuk pada 23 Julai 1961 yang telah dipengerusikan oleh Donald Stephen. Jawatankuasa ini bertanggungjawab dalam usaha untuk mendapatkan persetujuan  dari pemimpin-pemimpin Singapura, Sabah, dan Sarawak dan juga bertujuan untuk mendapatkan pandangan-pandangan yang berkesan mengenai penubuhan Malaysia.     Pembentukan JPPM merupakan satu kejayaan diplomasi yang besar dan merupakan pembuka jalan kepada rundingan-rundingan selanjutnya. Usaha-usaha yang lebih giat telah dijalankan oleh jawatankuasa ini melalui empat rundingan yang telah dijalankan, iaitu

(i) 21 Ogos 1961 di Jeselton; (ii) 18 Disember 1961 di Kucing; (iii) 6 Januari 1962 di Kuala Lumpur; dan (iv) 1 Februari 1962 di Singapura.

Dalam ke empat-empat rundingan ini, Brunei tidak menghantar wakil dan pada tahun 1962 mereka telah menyatakan pendirian bahawa mereka tidak berminat terhadap rancangan ini.

Dalam perjumpaan-perjumpaan ini, wakil-wakil dari Tanah Melayu seperti Ismail Yusof dan Datuk Ong Yoke Lim serta Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew telah memainkan peranan yang penting dalam memberikan maklumat kepada pemimpin Sabah  dan Sarawak tentang kebaikan menyertai penubuhan Malaysia. Di samping itu, mereka telah diundang dalam lawatan-lawatan muhibah ke Kuala Lumpur dan diberikan penerangan mengenai kemajuan-kemajuan yang telah dicapai oleh Tanah Melayu sepanjang tempoh kemerdekaannya.

2. Suruhanjaya Cobbold

Lanjutan daripada persetujuan yang telah dicapai dalam JPPM dan keputusan kerajaan Britain menyokong gagasan penubuhan Malaysia, satu suruhanjaya telah dibentuk  dengan untuk tujuan meninjau dan mengkaji pandangan penduduk Sabah dan Sarawak pada 16 Januari 1962. Ia telah dipengerusikan oleh Lord Cobbold, manakala ahli-ahli yang dilantik oleh Britain ialah Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston. Selain dari itu jawatankuasa ini juga turut dianggotai oleh ahli-ahli yang dilantik oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, iaitu Ghazali Shafie dan Datuk Wong Pow Nee. Hasil dari  tinjauan yang telah dilakukan oleh jawatankuasa ini menunjukkan bahawa 81 peratus dari penduduk Sabah dan Sarawak menyokong dan mahu menyertai Malaysia.

Pada perkiraan rakyat negeri itu dengan menyertai Malaysia, maka Sabah dan Sarawak akan dapat mencapai kemerdekaan lebih awal dari Britain. Selain itu, mereka juga bimbangkan ancaman komunis yang semakin merbahaya. Sekiranya Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia, ancaman komunis lebih mudah diatasi dengan bantuan Kuala Lumpur nanti. Selain dari faktor kemajuan dan kemakmuran yang telah dicapai oleh Persekutuan Tanah Melayu sejak mencapai kemerdekaan, penampilan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri dan ketegasan kerajaan Persekutuan terhadap komunis telah menarik sokongan penduduk Sabah dan Sarawak untuk menyertai Malaysia.

Jumlah peratusan ini meliputi satu per tiga dari penduduk di negerinegeri ini yang menyokong, satu per tiga tidak menentang,  tetapi mensyaratkan hak-hak mereka dijamin terlebih dahulu, manakala satu per tiga lagi tidak bersetuju dan mahukan kemerdekaan secara berasingan. Kebanyakan kumpulan yang menentang merupakan golongan minoriti dan golongan bukan Bumiputera. Mereka bimbang akan kehilangan hakhak mereka juga takut akan didiskriminasikan oleh kerajaan yang bakal terbentuk nanti. Di samping itu, juga mereka bimbangkan soal dominasi Melayu. Singapura pula telah menghantar referendum menyokong penubuhan Malaysia.

Setelah meninjau pandangan rakyat serta para pemimpin Sabah dan Sarawak, maka satu persetujuan telah dicapai oleh suruhanjaya tersebut. Persetujuan tersebut ialah

(i) Perlembagaan yang bakal di tubuh hendaklah berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. (ii) Malaysia adalah nama persekutuan yang bakal dibentuk.  (iii) Persetujuan dalam soal penghijrahan baik luar negeri mahupun dari Semenanjung dan Singapura, di mana kerajaan negeri Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa dalam menentukan kemasukan orang luar. (iv) Majlis Undangan Sabah dan Majlis Negeri Sarawak diberi hak untuk menentukan hal-ehwal yang berkaitan dengan agama. (v) Bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan di kedua-dua negeri.

3. Pungutan Suara Singapura

Oleh kerana Singapura merupakan negeri yang telah mencapai taraf berkerajaan sendiri, maka ia tidak termasuk dalam bidang penyiasatan Suruhanjaya Cobbold. Walaupun barisan pemimpin Singapura mengalualukan rancangan penubuhan Malaysia dan mengatakan kesediaan mereka untuk bergabung, namun banyak pihak di Singapura menentang hebat rancangan ini. Antaranya ialah kumpulan kiri dan Parti Barisan Sosialis. Bagi membuktikan bahawa tidak ada sebarang paksaan dalam menyertai Malaysia oleh pihak Singapura ke atas rakyatnya, maka satu pungutan suara telah dibuat dan mendapati bahawa 71 peratus penduduk Singapura memilih untuk menyertai Malaysia.8

4. Jawatankuasa antara Kerajaan (JAK)

Setelah persetujuan telah dicapai di kalangan pemimpin dan  penduduk, satu usaha telah dijalankan bagi merangka serta membentuk syarat pembentukan kerajaan Persekutuan yang terperinci. Sehubungan itu, pada Ogos 1962 Jawatankuasa Antara Kerajaan telah dibentuk. Ia telah dipengerusikan oleh Lord Landsdowne dan dianggotai oleh Tun Abdul Razak, Donald Stephen, Abang Haji Mustapha, Temenggung Jugah, dan seorang wakil dari Britain, serta seorang wakil dari Persekutuan Tanah Melayu. Dalam jawatankuasa ini, pemimpin-pemimpin Parti Perikatan Sabah mahukan kepentingan dan masalah rakyat Sabah yang dikemukakan dan Tuntutan 20 dipertimbangkan. Tuntutan tersebut antara lain mengandungi perkara-perkara yang berkaitan dengan agama, pendidikan, imigresen, bahasa, dan perwakilan ke Parlimen.   

JAK telah menubuhkan lima jawankuasa kecil bagi mengkaji dan meneliti aspek-aspek perlembagaan, kewangan, perundangan, kehakiman, dan organisasi jabatan. Setelah   bersidang beberapa kali dan  mengambil kira semua perkara yang berkait dengan tuntutan rakyat dari negeri yang akan bergabung dengan Tanah Melayu, maka satu laporan telah dikeluarkan dan menjadi asas kepada Perjanjian Malaysia. Penubuhan Persekutuan  Malaysia kemudiannya diisytiharkan di Stadium Negara pada 16 September 1963. 


0 comments: