MELAYU PERLU BERSATU DAN PERLU BERGANDING BAHU MEMARTABATKAN MARUAH BANGSA , BERANI BERSUARA UNTUK MEMPERTAHANKAN HAK BANGSA MELAYU TANPA MENIDAKKAN KEBAJIKAN BANGSA LAIN DI NEGARA KITA

TERKINI

TERKINI

PENGALAMAN BERTARUNG NYAWA - SEMUGA PAHLAWAN NEGARA AKAN TERUS GAGAH DAN SEMANGAT

0

MELAKA 9 Dis. - Kreativiti dan pengalaman mampu mengubah keadaan malah menyelamatkan nyawa.
Inilah yang berlaku ke atas dua jurulatih dan 11 pelatih komando apabila memanfaatkan minyak senjata sebagai bahan api untuk menghidupkan enjin Yamaha 60 kuasa kuda sehingga sampai ke Pantai Puteri, Klebang pada pukul 12.50 tengah malam tadi.
Dalam keadaan tidak mempunyai apa-apa peralatan bagi menentukan arah selepas lebih 24 jam bertarung nyawa apabila bot terbalik ketika menjalani latihan malam kelmarin akibat dipukul ribut di perairan Selat Melaka dekat Pulau Upih, mereka menunggu kapal kargo melintas sebagai pedoman untuk ke daratan.
Mereka adalah antara 10 jurulatih dan 35 pelatih yang sedang mengikuti kursus asas komando iaitu latihan mendayung menggunakan empat buah bot bermula dari Kem Sungai Udang menuju ke Pulau Nangka.
Menceritakan detik-detik cemas itu, salah seorang pelatih yang enggan namanya disiarkan berkata, jika tidak kerana idea salah seorang jurulatih menggunakan minyak senjata tidak mungkin mereka selamat sampai ke Pantai Puteri.
Menurutnya, enjin bot itu gagal dihidupkan setelah beberapa kali dicuba sejurus selepas bot yang terbalik dipukul ribut dan ombak, dinaikkan semula pada malam kejadian Sabtu lalu.
“Sepanjang masa kami tidak putus asa dan cuba baiki dan hidupkan enjin bot tetapi segalanya gagal tetapi mujurlah bila minyak senjata digunakan, enjin bot dapat dihidupkan," katanya yang berasal dari Alor Setar ketika ditemui di Hospital Angkatan Tentera di Kem Terendak, di sini hari ini.
Menurut pelatih itu lagi, sebaik sahaja mendapat pedoman arah ke daratan melalui arah pergerakan kapal kargo, mereka terus memecut sehingga ke Pantai Puteri.
Seorang lagi pelatih berusia 20 tahun berkata, pengalaman paling menakutkannya apabila bot mereka hampir-hampir dirempuh kapal kargo yang melalui Selat Melaka.
“Saya hanya mampu berdoa kerana ada tiga kapal kargo lalu menghampiri bot kami dan mungkin mereka tidak nampak dalam keadaan gelap tetapi mujurlah kami tidak dilanggar," katanya.
Seorang lagi pelatih berusia 19 tahun memberitahu, sepanjang hampir 24 jam bot mereka hanyut ke tengah laut dia tidak putus-putus berdoa agar dapat diselamatkan.
Katanya, ini pengalaman pahit dialaminya tetapi lebih penting mereka semua tidak berputus asa berusaha untuk menyelamatkan diri.
Seorang lagi rakannya berkata, dia seperti tidak percaya dapat kembali dengan selamat selepas mengharungi detik-detik paling cemas yang tidak pernah dilalui sebelum ini.
“Selepas bot yang terbalik dinaiki semula, kami menggunakan tangan dan apa sahaja yang ada untuk mendayung tetapi bot terus dihanyutkan ke tengah laut.
“Saya berterima kasih kepada dua jurulatih kerana memberi semangat kepada kami agar tidak putus asa," katanya.
Ketika itu, ujarnya, dia sudah terbayang ajal tetapi dalam masa sama tetap yakin atas kesungguhan rakan-rakan yang lain berusaha untuk menyelamatkan diri.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131210/dn_05/Minyak-senjata-selamatkan-kami#ixzz2n1v4Y4oq
© Utusan Melayu (M) Bhd 


SEMUGA PAHLAWAN NEGARA KITA AKAN TERUS DILINDUNGI ALLAH DAN DIBERIKAN HIDAYAH DAN KEREDHAAN MU YA ALLAH..

0 comments: