Rusuhan Singapura sangat serius
0
SINGAPURA 9 Dis. - Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menyifatkan rusuhan yang berlaku di Little India, di sini malam semalam sebagai satu insiden yang sangat serius dan menegaskan kerajaan akan memburu setiap individu terlibat supaya tindakan tegas dapat diambil.
Hsien Loong dalam pada itu turut meminta rakyat republik ini bertenang dan jangan percaya kepada khabar angin.
"Bagi saya, rusuhan itu tidak patut berlaku walau apa pun alasannya. Mereka yang terlibat telah melakukan jenayah dan mendatangkan kerosakan.
"Kami akan memburu suspek-suspek supaya tindakan tegas dapat diambil," kata Hsien Loong dalam kenyataan yang disiarkan melalui laman sosial Facebook miliknya.
Dalam kejadian semalam, kira-kira 400 pekerja asing dari India berang berikutan kematian seorang rakan mereka dikenali sebagai Sakthivel Kumaravelu, 33, yang dilanggar sebuah bas di persimpangan Jalan Race Course dan Jalan Hampshire kira-kira pukul 9.20 malam.
Kira-kira 300 anggota polis termasuk unit khas Kontinjen Gurkha, dikerah ke lokasi kejadian yang mengambil masa dua jam untuk memulihkan keadaan selepas perusuh bertindak membakar tiga buah kereta polis dan masing-masing sebuah ambulans dan motosikal.
Perusuh turut dilapor melontar pelbagai objek termasuk botol kaca ke arah pihak keselamatan selepas mereka menyerang sebuah bas menggunakan batang besi dan tong sampah.
Dalam perkembangan berkaitan, Hsien Loong turut mengarahkan Kementerian Dalam Negeri menubuhkan Jawatankuasa Inkuiri bagi menyiasat insiden berkenaan.
Katanya, jawatankuasa tersebut akan meneliti punca-punca yang mengakibatkan rusuhan serta bagaimana kemalangan jalan raya yang mencetuskan kejadian tersebut dikendalikan.
Setakat ini, seramai 27 suspek dari India yang disyaki terlibat dalam rusuhan yang turut mengakibatkan 14 anggota keselamatan republik ini cedera, telah ditahan.
Polis berkata, lebih ramai lagi suspek akan ditangkap dalam tempoh beberapa hari ini.
Kes terbabit diklasifikasikan sebagai satu daripada rusuhan yang menggunakan senjata berbahaya dan merupakan kali pertama berlaku dalam tempoh lebih 40 tahun. - REUTERS/AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131210/lu_03/Rusuhan-Singapura-sangat-serius#ixzz2n1rMHdxl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Assallammualaikum wmt wbt.
Diharap kerajaan Malaysia juga memperketatkan sempadan diantara Malaysia dan Singapore kerana mgkn wabak ini akan menular ke Malaysia.Kita tidak mahu negara kita dijadikan transit kegiatan yang tidak berfaedah dan menjadi tempat samseng ini menyorok..kerana kerajaan singapore sudah cukup pandai dan memandai untuk mengatakan negara kita ni tidak aman..
kita rakyat malaysia harus berganding bahu bagi memastikan perkara ini tidak berlaku di Malaysia..Malaysia BUmi Berdaulat!!!