WAWASAN 2020
0
WAWASAN 2020
Pada 28 Februari 1991, Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk “Malaysia: The Way Forward” di Majlis pelancaran Malaysian Business Council.13 Kertas kerja ini mengandungi satu rangka kerja mengenai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020 - dikenali sebagai “Wawasan 2020”.
Sebenarnya Wawasan 2020 bukanlah merupakan sebuah dasar khas, sebagaimana dasar-dasar lain yang dibincangkan sebelum ini. Ia merupakan suatu tindakbalas kepada perkembangan ekonomi, sosial dan politik yang berlaku di peringkat nasional dan antarabangsa yang telah memberi cabaran hebat kepada negara. Wawasan 2020 wajar dibincangkan di sini kerana ia berkaitan rapat dengan usaha kerajaan untuk membangunkan dan mencapai taraf sebuah negara maju.
Wawasan 2020 menekankan sembilan bentuk cabaran yang perlu dihadapi oleh rakyat Malaysia, iaitu
(i) Membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, terintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok etniknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah “Bangsa Malaysia” dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.
(ii) Melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang bebas, teguh dan terbentuk jiwanya, yakin akan dirinya sendiri, bangga akan keadaannya kini dan segala sesuatu yang telah dicapainya, dan cukup tangkas untuk menghadapi segala macam rintangan. Masyarakat Malaysia itu mestilah mempunyai sifat-sifat mengejar kecemerlangan, benarbenar menyedari segala kemungkinan dirinya, tidak terkongkong jiwanya, dan dihormati pula oleh bangsa lain.
(iii) Membentuk dan memperkembangkan sebuah masyarakat demokratis yang matang, yang mengamalkan sesuatu bentuk demokrasi Malaysia yang unggul, berasaskan muafakat dan musyawarah, dan boleh dicontohi oleh negara-negara membangun lain.
(iv) Membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur.
(v) Membentuk sebuah masyarakat yang matang yang bersifat toleran, dengan setiap warga bangsa Malaysia, tanpa mengira keturunan mahupun kepercayaannya, bebas mengamalkan dan melaksanakan adat resam, kebudayaan serta kepercayaan agamanya masing-masing, tanpa merasa tersisih daripada bangsa tersebut.
(vi) Membentuk sebuah masyarakat yang bersifat sains serta progresif, berdaya cipta dan berpandangan jauh ke hari muka, iaitu sebuah masyarakat yang bukan sahaja dapat memanfaatkan teknologi kini tetapi turut menjadi penyumbang terhadap pembentukan peradaban sains dan teknologi pada masa hadapan.
(vii) Membentuk sebuah masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang, sebuah sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan pada negara mahupun individu tetapi pada sistem kekeluargaan yang kukuh lagi mantap.
(viii) Menjamin terbentuknya sebuah masyarakat yang adil ekonominya. Masyarakat itu akan menjamin pengagihan kekayaan negara secara adil lagi saksama, dengan kemajuan ekonominya dinikmati bersama oleh setiap rakyat. Masyarakat yang demikian tidak akan terbentuk selaga terdapat penentuan fungsi ekonomi berdasarkan kaum dan pemusatan kemunduran ekonomi kepada kelompok-kelompok kaum yang tertentu.
(ix) Membentuk sebuah masyarakat yang makmur, dengan ekonomi yang mampu menghadapi persaingan, bersifat dinamis, tangkas dan mempunyai daya ketahanan.
Cabaran-cabaran di atas telah membangkitkan beberapa isu utama yang harus dihadapi bagi membolehkan Malaysia mencapai taraf negara maju. Isu-isu berkenaan termasuklah:
(i) Pembentukan Satu Negara Bangsa Malaysia. Rakyat di negara ini tidak lagi diidentifikasikan melalui kaum, keturunan atau warna kulit. Bagi membentuk satu negara bangsa Malaysia, beberapa istilah tertentu seperti perpaduan kaum, kesetiaan kepada negara, keharmonian dan toleransi perlu difahami dan diamalkan.
(ii) Negara Perindustrian. Mengubah corak ekonomi dari negara pertanian kepada perindustrian bagi mencapai status sebagai negara maju. Ini bermakna, rakyat harus bersedia bukan sahaja dalam proses perubahan dari kehidupan bertani kepada perindustrian, tetapi juga perubahan dalam teknologi, ekonomi, sosial dan kebudayaan.
(iii) Moral dan Etika. Berlainan dengan konsep negara maju yang lebih bercirikan kebendaan, negara maju alaMalaysia berpegang kepada falsafah moral dan etika yang berasaskan kepercayaan agama. Tanpa nilai-nilai ini, kesejahteraan dan keharmonian yang wujud tidak akan berkekalan, sebaliknya membawa keburukan.
(iv) Keadilan Ekonomi dan Sosial. Aspek ini merupakan penegasan semula ke atas isu-isu yang menjadi perhatian utama seperti pembasmian kemiskinan dan keseimbangan sosio-ekonomi di antara kaum, di antara wilayah, di antara negeri dan di antara bandar dan luar bandar. Wawasan 2020 meminta semua rakyat Malaysia tidak membuat tafsiran salah terhadap bantuan yang diberi kepada sesuatu kaum tertentu. Sebaliknya ia merupakan usaha bagi membaiki ketidakseimbangan yang wujud dalam masyarakat.
(v) Pembangunan Masyarakat Berdasarkan Sistem Kekeluargaan. Hakikat bahawa keluarga adalah asas pembentukan masyarakat dan masyarakat menjadi asas pembinaan negara tidak dinafikan. Ini bermaksud, kekuatan dan kemajuan sesebuah negara terletak pada keluarga dan masyarakat. Dengan itu, nilai dan cara hidup (seperti masyarakat penyayang) perlulah dibentuk pada peringkat awal lagi iaitu melalui institusi keluarga.