Assallammualaikumm...dan salam perjuangan
mari sama sama kita ambil tahu dan ambil berat ttng perkara disekeliling kita...
Pejuang Nasrul Haq dan Haqqul Yakin siap siaga.....
ISU COMANGO
Persidangan proses Universal Periodic Review - Semakan Berkala Sejagat berkaitan isu hak asasi manusia di Malaysia oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva, Switzerland akan berlangsung pada 19 ZulHijjah 1434 bersamaan 24 Okt 2013.
Beberapa NGO di Malaysia yang pro kebebasan tanpa batas dan hak asasi melampau telah menubuhkan sebuah pakatan sesama mereka dengan sokongan dan bantuan beberapa NGO dan badan asing telah mengemukakan beberapa tuntutan terhadap Malaysia dalam sidang ini.
Beberapa pertubuhan Melayu-Islam Malaysia, yang peka dengan implikasi dan kesan serius daripada sidang ini telah mengambil inisiatif menubuhkan sebuah badan bernama Muslim-UPRo (Muslim-Unviersal Periodic Review Organistation) untuk menyanggah desakan NGO pro kebebasan tanpa batasan ini.
Seramai 17 orang wakil M-UPRo ini sudah berada di Geneva (dengan tanggungan sendiri) untuk maskud tersebut.
Saya mengambil kesempatan ini mengajak seluruh umat Islam terutama di Malaysia untuk bersatu dan memohon kepada ALLAH supaya menyelamatkan negara kita daripada ancaman liberalisma dan pluralisma ini. Mari kita mendirikan solat hajat dan munajat memohon kepada ALLAH agar aqidah, keimanan dan syariat Islam terus mekar dan dimartabatkan dalam negara kita.
Malaysia adalah benteng terakhir bagi umat Melayu-Islam; we are the last bastion for Malay-Muslim!!!
Dibawah saya lampirkan Memorandum M-UPRo yang dikeluarkan untuk sebaran kepada seluruh umat Melayu-Islam agar memahami isu yang sedang melanda kita sekarang.
Kalau dahulu kita bersatu menentang IFC - Interfaith Commission yang mencabar aqidah dan syariat Islam, sehingga akhirnya ia tumbang tersungkur; mengapa sekarang kita tidak boleh bersatu dengan ancaman yang lebih besar dan bersifat global ini?
Kenyataan NGO Islam UPR ini dikeluarkan pada 22 Oktober 2013M bersamaan 17 Dzulhijjah 1434H
Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam di dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia atau ringkasnya MuslimUPRo telah digagaskan sebagai salah satu usaha untuk memantauNGO-NGO Hak Asasi Manusia (HAM) dan pertubuhan-pertubuhan sekular-liberal yang menggunakan saluran Gabungan NGO Malaysia di dalam Proses UPR (COMANGO), untuk menuntut perkara-perkara yang mencabar kedudukan Islam sebagai agama Negara melalui Proses Semakan Berpenggal Sejagat (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia HRC (UN) diGeneva, Switzerland yang akan melibatkan Malaysia pada 24 Oktober 2013.
MuslimUPRo dan gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam yang disenaraikan di sini mengambil pendirian berikut:
Menginsafi kepentingan Perkara 3(1) di dalam Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam pada kedudukan istimewa sebagai agama Persekutuan;
Menyedari bahawa cabaran-cabaran dunia pada hari ini ditandai gerakan hak asasi manusia (HAM) yang berlatarbelakangkan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan fitrah agama seperti sekularisme, liberalism dan pluralism dan semakin menyesatkan ramai di kalangan umat Islam;
Memperakui hakikat Malaysia sebagai sebuah Negara yang berdaulat serta disegani sebagai sebuah Negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN), Negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) serta Negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN);
Menegaskan bahawa sebagai sebuah yang beragama Malaysia perlu bertegas di dalam mempertahankan kedudukan Islam serta tidak tunduk kepada tuntutan-tuntutan HAM yang ternyata bertentangan dengan prinsip-prinsip di dalam ajaran Islam.
Dengan latar belakang tersebut, kami berpandangan bahawa:
A. Gabungan NGO Malaysia di dalam Proses UPR atau ringkasnya COMANGO telah melakarkan tuntutan-tuntutan mereka tanpa menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Negara dan sengaja menimbulkan kekeliruan seolah-olah Malaysia adalah sebuah Negara Sekular yang meletakkan semua agama sama rata.
B. Perbuatan COMANGO ini bertujuan untuk meletakkan apa saja dasar dan undang-undang yang digubal sama ada oleh Kerajaan atau Majlis-majlis Agama di bawa seliaan dan pemerhatian HRC UN.
C. Kerajaan perlu menjelaskan kepada HRC bahawa, sekalipun rakyat Negara ini terdiri daripada penganut berbagai agama dengan penganut agama Islam membentuk 60 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia, namun Negara Malaysia berkewajipan untuk memelihara Agama Islam pada semua masa.
D. Kealpaan perwakilan Negara untuk memberikan perhatian utama kepada kewajipan memelihara Agama Islam dalam perundingan antarabangsa boleh mengakibatkan Malaysia dihalang (estopped) pada masa akan datang daripada bersandarkan kepada hujah kedaulatan Islam dalam berhadapan dengan berbagai tekanan antarabangsa dalam isu-isu hak kebebasan yang bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam.
E. Tuntutan-tuntutan COMANGO yang berikut adalah terlalu jelas mendedahkan agenda mengganggu-gugat kedudukan Islam di Malaysia. Berpandukan prinsip Maqasid al-Syariah yang utama iaitu Memelihara Agama, yang juga terkandung dalam Sumpah Yang DiPertuan Agong (Jadual Keempat Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan), Kerajaan perlu lebih serius menolak tuntutan-tuntutan sebegini –
i. Tuntutan yang bersifat provokasi keagamaan dan sentimen perkauman dengan mengaitkan larangan Kerajaan terhadap penggunaan nama Allah oleh majalah The Catholic Weekly dengan kejadian letupan molotov cocktail di beberapa buah gereja selepas keputusan kes Kalimah Allah sebagai perbuatan “ultra Malays pressure groups”;
ii. Mempertikaikan keputusan mengharamkan penyebaran fahaman Syiah dan lain-lain ajaran menyeleweng sebagai kekangan kepada hak kebebasan beragama dan dominasi oleh pihak berkuasa agama dari kalangan Ahlus Sunnah Waljama’ah yang mengekang hak kebebasan berfikir;
iii. Menuntut hak kebebasan untuk murtad sebagai hak kebebasan beragama dengan menafikan bidangkuasa mahkamah Syariah untuk menentukan kedudukan Islam seseorang;
iv. Tuntutan untuk menghapuskan undang-undang jenayah Syariah yang sedang berkuatkuasa di Negeri-negeri;
v. Memberikan persepsi buruk kepada kewajipan amar ma’ruf dan nahi mungkar yang dilaksanakan oleh Jabatan-jabatan Agama di seluruh Negara dengan penggunaan label stereotaip media barat iaitu moral policing;
vi. Memberikan gambaran negatif terhadap usaha-usaha kerajaan menyampaikan dakwah kepada masyarakat orang asli dan dimanipulasikan sebagai paksaan pemelukan agama Islam;
vii. Tuntutan untuk mengiktiraf hak sosial dan hak undang-undang kelompok manusia pengamal seks songsang LGBT ;
viii. Membenarkan amalan seks songsang dengan menghapuskan peruntukan undang-undang yang menyifatkan amalan seks di luar tabií itu sebagai perbuatan jenayah;
ix. Mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan larangan dan siasatan pihak Polis ke atas penganjuran perarakan Seksualiti Merdeka adalah tindakan yang tidak boleh disemak oleh Mahkamah.
x. Menuntut supaya Prinsip-prinsip Yogyakarta 2006 yang mengiktiraf hak mengamalkan seks songsang LGBT diterima oleh Malaysia;
xi. Menuntut diberhentikan serta merta sebarang tindakan terhadap kanak-kanak atau orang dewasa atas asas indentiti gender dan orientasi seks dan mereka dibayar ganti rugi;
xii. Tuntutan untuk membenarkan buku tulisan Irshad Manji yang jelas mengandungi perkara-perkara yang menyanggahi hukum syarak- termasuk menyeru supaya pemikiran Islam (Islamism) diperangi, mendakwa nama Allah diambil oleh Rasulullah dari nama sebuah berhala; menghidupkan semula teori jahat Salman Rushdie satanic verses; mendakwa amalan solat boleh dilakukan mengikut pemikiran sendiri; mendakwa amalan seks songsang kaum Lut hanya diharamkan jika dilakukan secara paksa;
Justeru, MuslimUPRo mendesak Kerajaan supaya:
i. Bertegas dalam mempertahankan kedaulatan Agama Islam sebagai Agama Negara dan menolak tuntutan-tuntutan COMANGO kepada HRC melalui proses UPR tersebut. Penegasan ini dilakukan berasaskan prinsip-prinsip kedaulatan Malaysia sebagai Negara Islam;
ii. Menghalang pihak COMANGO dan badan-badan seumpamanya dari terus-menerus mencabar institusi Raja-raja Melayu, institusi fatwa dan Majlis-majlis Agama Islam Negeri-negeri serta institusi-institusi yang ditubuhkan di bawah peruntukan-peruntukan melindungi Islam sebagai agama Negara;
iii. Mengambil tindakan sewajarnya menurut kerangka Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Negara terhadap pihak COMANGO dan badan-badan seumpamanya apabila jelas terdapat usaha membuka ruang untuk melakukan kesalahan-kesalahan jenayah apabila tuntutan-tuntutan tersebut berlawanan dengan Enakmen-enakmen Negeri-negeri yang memperuntukkan undang-undang melindungi Islam;
iv. Menolak tuntutan COMANGO dan Badan-badan HAM dengan berasaskan kewajipan memelihara kedaulatan Islam sebagai Agama Negara;
v. Merundingi Majlis-Majlis Agama Islam dan Badan-badan Islam Bukan Kerajaan dalam mempertimbangkan pelbagai tuntutan yang menyentuh Kedaulatan Islam sebagai Agama Negara.
vi. Bertegas menghalang COMANGO dari berurusan dengan mana-mana pihak sama ada dalam atau luar Negara kerana hanya segelintir (12 persatuan) yang sah sebagai NGO dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan, manakala yang lainnya tidak berdaftar dan melakukan kesalahan di bawah seksyen 6 Akta Pertubuhan;
vii. Mana-mana pihak yang berurusan dengan pertubuhan-pertubuhan tidak berdaftar ini turut melakukan kesalahan. Suara dan tuntutan mereka ini tidak mewakili majoriti rakyat Malaysia, bahkan sebahagian dari peneraju pertubuhan tidak berdaftar ini telah beroperasi secara tidak sah selama tempoh mencecah puluhan tahun. Bahkan sebahagian dari mereka ini juga sengaja mewujudkan entiti perniagaan di bawah Pendaftar Syarikat dengan tujuan mendapat penyaluran dana asing untuk membiayai tuntutan jahat mereka untuk mengkhianati Agama Negara.
viii. Menyiasat sumber kewangan yang membiaya COMANGO untuk melakukan berbagai pengkhianatan terhadap kedaulatan Agama Islam sebagai Agama Negara;
Azril Mohd Amin – Ketua Delegasi MuslimUPRo ke Geneva, Switzerland
MuslimUPRo adalah dianggotai oleh Pertubuhan-pertubuhan Islam dan Umat Islam utama termasuk Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), JATI, Majlis Amal Islami Malaysia, IKATAN, PERKIM, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), PEMBINA, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), PERMIM, JATI, PERKID, PERKASA, PROMUSLIM, JAM”IYYAH, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM), Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), ISSI Malaysia, GABUNGAN Pulau Pinang, PINTA, Majlis Ittihad Ummah, Persatuan Ummah Cemerlang Malaysia, Khalifah Institute, Persatuan Nur Alamiyyah, Pertubuhan Anak Watan Malaysia (WATAN).