MELAYU PERLU BERSATU DAN PERLU BERGANDING BAHU MEMARTABATKAN MARUAH BANGSA , BERANI BERSUARA UNTUK MEMPERTAHANKAN HAK BANGSA MELAYU TANPA MENIDAKKAN KEBAJIKAN BANGSA LAIN DI NEGARA KITA

TERKINI

TERKINI

Gagal memahami aspirasi orang muda

0
Assallammualaikum dan salam perjuangan
ketika saya melayari internet saya terbaca satu artikel berkaitan gagal memahami aspirasi orang muda..dan saya lihat artikel ini sungguh baik dan boleh menjadi panduan dalam membentuk halatuju Aspirasi Muda Alor Gajah

Saya pernah mendengar ucapan seorang ahli politik di hadapan sekumpulan anak-anak muda. Beliau bercakap dengan penuh bersemangat sekali. Banyaklah perkara yang dibangkitkannya, yang penting tentang perlunya generasi muda mengetahui sejarah. Seperti biasa beliau menyebutkan tentang sukarnya hidup beliau pada masa kecil.
Kumpulan itu rasanya tidak memberikan banyak perhatian. Mereka bercakap sesama sendiri atau sibuk menghantar mesej melalui telefon pintar. Saya bersimpati dengan ahli politik itu. Saya percaya pendekatan itu tidak lagi berkesan untuk menarik perhatian generasi muda.

Kesilapan ‘orang tua’ yang paling besar hari ini ialah kegagalan memahami aspirasi ‘orang muda’. Mereka tidak faham ‘bahasa’ anak-anak muda ini. Lebih malang lagi mereka cuba memaksakan nilai mereka pada generasi muda.
Zaman anak-anak muda perlu ‘diajar’ dan ‘diperingat’ sudah berakhir. Ini waktu membuat ‘engagement’ cara lain. Anak muda hari ini hidup dalam dunia yang berbeza daripada ibu bapa mereka. Mereka lebih terdedah pada teknologi, maklumat dan ilmu. Ini merupakan era segala-galanya boleh didapatkan hanya melalui jari. Dunia internet dan alam siber mengubah segala-galanya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam amanatnya sewaktu Perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu menyebutkan tentang perlunya UMNO mendekati golongan ini. Beliau menyebutkan tentang 2.9 juta pengundi kali pertama yang sebahagian besarnya golongan muda dalam pilihan raya akan datang. Sokongan generasi muda juga memungkinkan Presiden Barack Obama dipilih semula sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) dalam pilihan raya presiden baru-baru ini.
Moral ceritanya: Jangan pandang ringan kuasa mengundi di kalangan generasi muda. Setiap parti politik mengatur strategi bagi menawan hati dan minda mereka. Dalam pilihan raya akan datang dunia siber mempunyai pengaruh yang besar. 

Generasi muda ini hidup dengan Facebook, Twitter dan khidmat pesanan ringkas (SMS).Pemilik media menyedari bahawa telah berlaku migrasi dari media tradisional kepada media baru. Hampir kesemua akhbar mengalami kemerosotan daripada segi jumlah edaran. TV tidak lagi ditonton melalui kaca TV yang biasa sebaliknya dalam aplikasi yang lain seperti komputer, iPad dan telefon pintar.
Memang maklumat mi segera dan pasang siap ini belum tentu tepat dan betul, tetapi maklumat datang tanpa boleh dibendung dan tanpa tapisan. Hari ini prinsip maklumat ialah ‘terima dulu’ baru ‘disahkan’. Malah selalunya kesahihan bukan ukuran. Maklumat yang diterima itu terus dihantar pada orang lain. Maklumat yang salah, yang kadang-kala berunsur fitnah dan tohmahan bergerak pantas tanpa kawalan.
Dalam situasi inilah generasi hari ini mencorakkan alamnya. Sayugia diingat bukan semua yang menerima bulat-bulat apa yang mereka baca dalam dunia siber. Malah sebahagian besarnya dimatangkan dengan asakan maklumat yang pelbagai ini, menjadikan mereka lebih terbuka, mudah membuat perbezaan dan boleh menilai mana kaca dan mana permata. Kita usah perkecilkan keupayaan generasi muda hari ini.
Maka itu pendekatan mendekati generasi baru ini memerlukan pemikiran semula bagi pimpinan politik, ketua masyarakat malah ibu bapa. Aspek keibubapaan atau parenting juga memerlukan perubahan drastik. Anak-anak hari ini tidak membesar dalam suasana ibu bapa mereka dibesarkan.
Maka itu apa yang dianggap ‘perlu’ dan ‘penting’ bagi generasi lama tidak lagi bermakna bagi generasi baru ini. Mereka lebih articulate, lebih berani dan lebih terbuka. Nilai lama yang dipegang oleh ibu bapa mereka mungkin tidak sesuai lagi. Demikian juga pengertian tentang makna kehidupan dan bermasyarakat.
Apa yang lebih penting ialah generasi ini tidak ada ‘bagej masa lalu’ seperti ibu bapa mereka. Isu bangsa dan agama misalnya dilihat daripada perspektif yang berbeza sama sekali. Mereka tidak dicorakkan oleh parasangka, bias dan sejarah lampau. Mereka generasi pasca Merdeka dan pasca 1969 yang melihat negara ini daripada kacamata yang berbeza.
Sejarah tidak banyak maknanya buat mereka. Maka itu cuba mengaitkan segala-galanya dengan sejarah tidak ada kesannya pada generasi ini. Mereka mahu melihat ke hadapan, bukan terlalu banyak memandang ke belakang. Sejarah bagi mereka hanyalah ‘cerita orang tua bagi mewajarkan apa yang mereka mahu lakukan’.
Engagement baru dengan orang muda ini harus juga mengambil kira apa yang mereka mahukan sebenarnya: Suara mereka, kehidupan mereka, masa depan mereka. Mereka mahu dihormati, dihargai dan diberikan keutamaan. Mereka bukan sekadar statistik dalam kerangka rakyat negara ini.
Tanpa menggunakan medium mereka, memahami bahasa mereka dan mengenal pasti aspirasi mereka orang dewasa tidak akan dapat ‘mendekati’ mereka. Tentulah sukar untuk dicari titik pertemuan dan pemahaman. Oleh sebab itulah orang tua selalu menganggap generasi muda hari ini sukar, tidak mudah difahami dan suka menentang.
Bukankah mereka juga ‘muda’ satu waktu dulu?-3/1/2013

0 comments: