Mampukah pemilihan Umno sediakan pemimpin ASPIRASI rakyat?
0
Assallammualaikum dan salam perjuangan
Kita mengucapkan tahniah dan syabas kepada UMNO kerana telah menjalankan satu transformasi besar dalam pentadbiran UMNO yang dilihat sebagai memenuhi aspirasi rakyat untuk memilih secara terbuka dan sistematik bagi memilih pemimpin UMNO yang memenuhi aspirasi rakyat untuk masa depan negara yang terus gemilang dan makmur.
keberanian UMNO untuk memperkenalkan sistem pemilihan ini adalah satu tindakan yang baik dan perlu dipuji kerana ini akan melahirkan ahli ahli umno yang lebih bertanggung jawab pada parti dan memberi ruang seluas luasnya untuk ahli parti dari akar umbi memilih pemimpin yang mereka percaya mampu membawa aspirasi rakyat.
kita sebagai ahli UMNO apatah lagi ahli pemuda UMNO yang sentiasa inginkan transformasi dan perubahan demi memenuhi aspirasi orang muda UMNO juga haruslah selari dengan peredaran masa dan zaman supaya parti keramat ini terus unggul dan terus berbakti kepada Melayu dan Islam juga terus menjaga kebajikan rakyat dalam pimpinan Barisan Nasional.
Selepas berakhirnya pilihan raya umum ke-13 Mei lepas, perhatian dunia politik kini tertumpu kepada pemilihan pucuk pimpinan parti termasuk Umno, parti terbesar orang Melayu.
Pemilihan parti yang akan menggunakan sistem baharu berikutan pindaan perlembagaan pada Oktober 2009, dilihat bakal menentukan hala tuju Umno dan selanjutnya menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Selaras dengan pindaan perlembagaan, kuota bagi jawatan tertinggi Umno iaitu Anggota Majlis Tertinggi sehinggalah presiden dihapuskan, sekaligus membuka ruang seluas-luasnya kepada mana-mana anggota bertanding dengan syarat minimum iaitu pernah memegang jawatan Anggota Majlis Tertinggi atau Anggota Jawatankuasa (AJK) bahagian selama satu penggal.
Persoalannya, sejauh mana pemilihan parti yang mempunyai sejumlah 3.2 juta ahli ini mampu menyediakan pemimpin yang menepati citarasa dan aspirasi anggota akar umbi dan rakyat keseluruhan?
Penganalisis politik berpandangan bahawa untuk Umno kekal relevan, segar dan matang seiring dengan transformasi politik, pemilihan kali ini seharusnya membuka ruang kepada muka-muka baharu untuk bertanding sekali gus menyediakan barisan pemimpin pelapis yang mampu memenuhi aspirasi peringkat akar umbi dan rakyat.
Menurut Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pemilihan kali ini sangat penting memandangkan Umno adalah parti teras kepada Barisan Nasional (BN) dan teraju kepimpinan negara.
Beliau berkata tidak seperti parti komponen BN lain, pemilihan Umno secara lazimnya menentukan seseorang yang memenangi jawatan presiden dan timbalan presiden Umno dilantik sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri.
Buat pertama kali dalam sejarahnya, Umno akan menyaksikan 146,500 perwakilan di 191 bahagian masing-masing memilih terus barisan kepimpinan parti. Sebelum ini, hanya 2,500 perwakilan memilih pada perhimpunan agung parti.
"Penghapusan kuota dan pertambahan jumlah perwakilan yang akan mengundi adalah satu proses transformasi dalam usaha menambah baik kualiti kepimpinan Umno sedia ada.
"Ruang demokrasi yang besar disediakan Umno ini seharusnya dimanfaatkan ahlinya untuk memilih pemimpin yang benar-benar layak dan diterima ramai untuk menerajui parti, sekaligus dapat memantapkan Umno," kata beliau.
Ada juga yang berpendapat bahawa untuk mendapatkan pemimpin yang mampu memenuhi citarasa akar umbi dan diterima rakyat keseluruhan, maka seharusnya semua jawatan tertinggi parti termasuk presiden dipertandingkan.
Menyokong pendapat itu, pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu berkata pertandingan untuk jawatan penting dalam parti akan memperlihatkan demokrasi sebenar Umno kepada orang di luar parti.
"Ini sebenarnya yang orang mahu lihat iaitu ada pertandingan. Selepas ditangguhkan pemilihan parti beberapa tahun, ada pula yang meminta supaya presiden dan timbalan presiden dikekalkan. Ini tidak mencerminkan apa dihasratkan dalam perlembagaan baharu Umno.
"Wujudkan pertandingan agar orang dapat melihat demokrasi yang sebenar dan inilah yang akan menentukan pemimpin yang diterima akar umbi dan rakyat," katanya.
Apakah pemilihan parti kali ini dapat menarik lebih ramai orang di luar parti terutamanya generasi muda menyokong Umno?
Samsul Adabi berpendapat bahawa dengan wujudnya pertandingan bagi semua jawatan tertinggi parti itu, ia mampu menarik kembali sokongan pengundi kelas pertengahan yang sebelum ini dikatakan menolak Umno selain memberi mesej bahawa parti itu benar-benar serius untuk berubah.
Namun timbul pula beberapa kenyataan daripada pemimpin parti menyarankan supaya jawatan presiden yang disandang Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalan presiden yang dipegang Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dipertandingkan kali ini.
Ini kerana, kedua-dua pemimpin tersebut berjaya meningkatkan jumlah penguasaan kerusi Parlimen yang ditandingi Umno daripada 79 pada pilihan raya umum 2008 kepada 88 kerusi, 5 Mei lepas.
Perdebatan sama ada jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan atau tidak mendapat reaksi yang pelbagai daripada pemimpin Umno. Ada yang mahu ia dikekalkan malah ada yang mahu dipertandingkan serta tidak kurang juga yang mahu sistem kuota diperkenalkan semula bagi kedua-dua jawatan itu.
Samsul Adabi berkata pemilihan Umno kali ini sepatutnya menjadi platform terbaik ke arah memperkasa dan memantapkan Umno sebelum menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim berkata pemilihan parti memperlihatkan amalan demokrasi yang subur dalam Umno dan kematangan anggota untuk memilih pucuk pimpinan yang bakal mengemudi parti.
"Apa yang penting, Umno kena tunjukkan kematangan dan demokrasi sebenar. Saya berharap pemilihan kali ini akan berlangsung dengan baik walau apa jua caranya kerana kita mengamalkan ketelusan, integriti dan demokrasi," katanya.
Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata penghapusan sistem kuota yang disokong keseluruhan anggota jelas memberi mesej kepada umum bahawa Umno serius untuk berubah dan memberi ruang sebebas-bebasnya kepada anggota untuk memilih pucuk pimpinan parti.
"Pemilihan kelak menunjukkan pimpinan parti itu adalah pilihan akar umbi," katanya.-18/6/2013